BAB 9: PENGURUSAN TINGKAH LAKU DAN DISIPLIN
Menurut Foucault (1977), disiplin ialah suatu bentuk pengawasan dan membiasakan amalan-amalan yang dikehendaki. Disiplin juga merupakan peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi oleh seseorang murid di sekolah bagi mewujudkan tingkah laku yang baik.
Seterusnya, masalah disiplin sekolah lebih sesuai dirujuk sebagai masalah salah laku pelajar atau tingkah laku devian( menyimpang daripada norma-norma sosial masyarakat). Mereka yang devian adalah mereka yang melanggar peraturan.
KANDUNGAN
1. Devian Inovasi (innovation)
Inovasi (innovation) adalah suatu cara memenuhi matlamat dengan cara yang salah. Misalnya, pelajar yang ingin mendapatkan markah yang tinggi dalam peperiksaan tetapi tidak berupaya menjawab soalan yang dikemukakan akan cuba mendapatkan markah yang tinggi dengan melakukan kecurangan akademik.
2. Devian Ritual (ritualism)
Ritual (ritualism) adalah tindakan mengulang-ulang suatu perbuatan apabila menyedari bahawa mereka tidak dapat mencapai matlamat ditetapkan. Misalnya, pelajar yang selalu kecewa akan mengulang-ulang tingkah laku yang sama.
3. Devian Undur (retreatism)
Undur (retreatism) adalah berkenaan seseorang yang tidak lagi berminat dengan matlamatnya lalu melakukan alternatif lain sebagai tindakan. Misalnya, pelajar yang sudah kecewa dengan pelajaran contohnya akan melakukan ponteng sekolah.
4. Devian Menentang (rebelliation)
Menentang (rebelliation) pula adalah dengan menolak matlamat persekolahan dan menggantikannya dengan matlamat lain yang dapat memenuhi kehendak mereka seperti melibatkan diri dengan gengsterism seperti mencuri.
PUNCA-PUNCA DEVIAN:
Kelas Sosial
Latar belakang budaya keluarga mempengaruhi pelajar kerana mereka lebih banyak menghabiskan masa di rumah bersama keluarga. Mereka telah disosialisasikan dalam budaya keluarga yang mungkin berbeza dengan budaya sekolah. Misalnya pelajar kelas sosial rendah dikatakan tidak mementingkan kelulusan akademik dan ingin segera menceburi sektor pekerjaan bagi mendapat wang. Kesannya mereka melakukan aktiviti tidak berfaedah seperti lepak dan sebagainya.
Etnik
Punca masalah hubungan etnik boleh disebabkan oleh prejudis, bias, dan persaingan ekonomi, status dan kuasa. Di barat tingkah laku devian pelajar sering dikaitkan dengan golongan minoriti kulit hitam. Masalah devian jenis ini dikatakan berpunca daripada sikap diskriminasi golongan kulit putih yang berkuasa terhadap golongan minoriti. Pelajar minoriti bertingkah laku devian sebagai tindak balas diskriminasi oleh kulit putih kerana merasakan terancam.
Jantina
Kajian menunjukkan devian lebih banyak dilakukan oleh pelajar lelaki seperti merokok, berjudi, membuli, ponteng, samseng, dan vandalisme. Pelajar perempuan sering dikaitkan dengan kesalahan melibatkan cara berpakaian, bersolek, vandalisme dan berpasangan. Puncanya dikatakan dengan bentuk sosialisasi berbeza antara pelajar lelaki dan perempuan sejak kecil lagi.
KESIMPULAN
Konklusinya, dalam melahirkan pelajar yang lebih berguna pada masa akan datang, semua pihak perlu bekerjasama dalam menangani masalah disiplin dan mengawal tingkah laku mereka dengan mengambil langkah yang drastik sebelum nasi menjadi bubur. Jika hanya satu pihak yang bertindak sebagai contoh di sekolah hanya guru sahaja yang berusaha membentuk disiplin pelajar tetapi di rumah ibu bapa tidak mengambil serius, sudah pasti masalah disiplin ini tidak lagi dapat dibendung.
RUJUKAN
Periakka Rengaya Chinaya. (2016). Pengurusan tingkah laku murid pendidikan khas. Petaling Jaya: Sasbadi Sdn. Bhd.
Zahari Suppian (2021) pengurusan tingkah laku dan disiplin, nota KPS3014

No comments:
Post a Comment