Saturday, 1 May 2021

BAB 2: INTERAKSI DAN PEMBELAJARAN

 BAB 2: INTERAKSI DAN PEMBELAJARAN


PENGENALAN

Interaksi ialah proses saling tindakan antara individu dengan pihak yang lain atau alam sekitarnya. Menurut Merriam Webster Online Distionary, interaksi bermaksud pengaruh atau aksi dua hala. Dalam proses ini, seorang individu berinteraksi dengan individu-individu yang lain atau bahan-bahan di dalam persekitaran dengan tujuan mempengaruhi satu sama lain. Manakala menurut Murphy dan Alexender (2006), pembelajaran membawa maksud proses seorang pelajar untuk memperoleh sesuatu kefahaman dan mengubah kefahaman atau konsep tersebut. Pembelajaran juga boleh membawa maksud perolehan maklumat dan pengetahuan, penguasaan tabiat dan kemahiran, serta pembentukan kepercayaan dan sikap.

KANDUNGAN

Jenis-jenis interaksi dalam pembelajaran:

  • Interaksi sehala/tradisional
  • Interaksi dua hala antara guru dengan murid
  • Interaksi dua hala antara murid dengan murid(kumpulan)
  • Interaksi pelbagai hala antara guru dengan murid dan murid dengan murid
Interaksi sehala/tradisional

Pendekatan ini lebih berpusatkan guru, kaedah kelas, kaedah syarahan, kaedah bercerita atau kaedah demonstrasi, interaksi dalam bilik darjah akan menjadi sehala kerana guru yang mengawal segala aktiviti pembelajaran dan pengajaran yang berlaku di dalam bilik darjah. Sebagai contoh, seorang guru mengajar di dalam kelas dan pelajar sebagai pendengar seperti bagi subjek sejarah. Pelajar terpaksa menerima apa sahaja arahan atau penerangan yang diberikan oleh guru tanpa sebarang bantahan.

Ciri-ciri interaksi sehala:

  • Corak interaksi bilik darjah ditentukan oleh guru kelas.
  • Tiada interaksi yang berlaku antara murid dengan murid.
  • Murid-murid tidak terlibat dalam proses pengajaran dan pembelajaran secara aktif.

Interaksi dua hala antara guru dengan murid

Interaksi ini sesuai bagi guru menggunakan pendekatan yang berlainan seperti perbincangan atau kaedah induktif, kaedah menyoal interaksi yang berlaku di dalam bilik darjah bertukar menjadi dua hala dimana guru bertanya pelajar menjawab, atau pelajar bertanya guru menjawab. Untuk menarik minat pelajar, guru boleh menggunakan cara seperti memberi ganjaran kepada pelajar

Ciri-ciri dua hala antara guru dengan murid:

  • Aktiviti pengajaran dan pembelajaran bercorak aktif.
  • Perhubungan guru dengan murid menjadi rapat akibat komunikasi terbuka di dalam bilik darjah.
  • Menggalakkan murid-murid untuk melibatkan diri dalam proses pengajaran dan pembelajaran dengan menyoal dan meminta pendapat mereka.

Interaksi dua hala antara murid dengan murid(kumpulan)

Interaksi ini bertujuan untuk menggalakan pelajar untuk menyertai diri secara aktif dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Interaksi ini juga terjadi apabila terdapat aktiviti berkumpulan seperti pembentangan, perbincangan dan sebagainya. Kerja berkumpulan membolehkan pelajar berinteraksi sesama ahli kumpulan dalam sesi perbincangan dan ini dapat memupuk sikap kerjasama, menghormati dan dapat mengurangkan masalah pelajar yang takut atau malu untuk menonjolkan diri.

Ciri-ciri dua hala antara murid dengan murid:

  • Aktiviti pembelajaran menjadi aktif dan dinamik.
  • Perhubungan antara murid dengan murid dieratkan.
  • Interaksi guru dengan murid dihadkan kepada mengikut arahan guru sahaja.
  • Pembelajaran koperatif dan kolaboratif menjadi tumpuan guru.
  • Interaksi antara murid-murid mewujudkan perasaan hormat-menghormati dan saling membantu dalam kalangan mereka.

Interaksi pelbagai hala antara guru dengan murid dan murid dengan murid

Guru menggunakan kaedah-kaedah dan teknik ini untuk pengajaran seperti simulasi, main peranan, pendekatan kumpulan, kaedah perbincangan, uji kaji, kaedah penyelesaian masalah dan kaedah perbincangan, ia akan menggalakkan interaksi pelbagai hala antara guru dengan murid dan murid dengan murid-murid lain di dalam bilik darjah.

Ciri-ciri interaksi pelbagai hala antara guru dengan murid dan murid dengan murid:

  • Komunikasi berkesan yang berlaku di antara guru dengan murid dan murid dengan murid.
  • Penyertaan aktif murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
  • Suasana yang kondusif untuk mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran.
KESIMPULAN

    Secara rumusannya, interaksi amat penting dalam apa jua urusan terutama dalam proses pembelajaran. Hal ini sedikit sebanyak dapat membantu semua pihak dan dapat memberi kemudahan kepada semua dalam menyampaikan dan juga menerima sesuatu tanpa sebarang keraguan. Oleh yang demikian, seharusnya teknik-teknik di atas diamalkan dalam pembelajaran supaya guru dan murid masing-masing beroleh apa yang diinginkan.

RUJUKAN

Zahari Suppian (2021) interaksi dan pembelajaran, nota KPS3014


No comments:

Post a Comment

BAB 14: PENGURUSAN ALAM PEMBELAJARAN

  BAB 14: PENGURUSAN ALAM PEMBELAJARAN PENGENALAN Menurut (Shaarai, 2012) proses pembelajaran merupakan salah satu unsur penting untuk menca...