BAB 4: KEPIMPINAN DAN ORGANISASI
PENGENALAN
Definisi Kepimpinan:
Menurut Stogdill (1950) ,kepimpinan adalah satu proses mempengaruhi aktiviti kumpulan dalam usaha menetapkan dan seterusnya mencapai matlamat organisasi. Manakala menurut Kellerman (1984) ,kepimpinan adalah satu proses di mana seorang individu secara konsisten memberi lebih banyak impak terhadap sifatdan aktiviti kumpulan berbanding orang lain.
Definisi Organisasi:
Organisasi adalah sekumpulan individu yang bekerja bersama sama ke arah mencapai matlamat yang sama atau satu unit sosial manusia yang bekerjasama dan saling bergantungan antara satu sama lain bagi mencapai matlamat setiap manusia itu dan organisasinya.
KANDUNGAN
Terdapat empat gaya kepimpinan yang saya pelajari dalam topik ini:
- Gaya Kepimpinan Autokratik
- Gaya Kepimpinan Demokratik
- Gaya Kepimpinan Laissez-faire
- Gaya Kepimpinan Kontigensi
Gaya kepimpinan jenis autokratik adalah lebih mengutamakan kepada kehendak kerja & menyelesaikan tugas. Pemimpin jenis ini akan menggesa orang bawahannya untuk menyempurnakan tugasan mengikut arahan yang dia telah berikan. Tiada hubungan atau komunikasi yang mesra terjalin antara pemimpin dengan orang bawahan kerana perbincangan hanya menumpukan terhadap tugasan yang diberikan. Apabila perbincangan, kebanyakan pendapat orang lain tidak diterima dan dia hanya inginkan pendapatnya sahaja diterima. Pemimpin jenis ini biasanya suka mengongkong, pemarah, tegas & sombong namun hasil tugasannya lebih teliti dan sempurna.
Gaya Kepimpinan Demokratik
Gaya kepimpinan demokratik adalah gaya yang paling berkesan daripada gaya kepimpinan yang lain. Kepimpinan jenis ini bersifat lebih terbuka dan amat disenangi oleh orang di bawah pimpinannya. Apabila membuat perbincangan, pemimpin akan mengajak ahli-ahli lain dan mendengar setiap idea dan pendapat daripada mereka. Pemimpin mampu menerima kritikan dan pendapat daripada orang bawahan dengan hati yang terbuka. Dia akan berusaha memperbaiki kelemahan diri agar disenangi orang bawahan. Pemimpin lebih bersikap matang dan hubungan dengan orang di bawah pimpinannya adalah rapat kerana pemimpin ini mementingkan hubungan sesama ahli.
Gaya Kepimpinan Laissez-Faire
Pemimpin yang mengamalkan stail kepimpinan laissez-faire, tidak begitu berminat dengan urusan yang diamanahkan kepadanya. Beliau biasanya tidak peduli mengenai kerja mahupun hasilnya. Kuasa yang ada padanya tidak digunakan. Pemimpin jenis ini akan membiarkan semua keputusan dibuat oleh orang bawahannya.
Gaya Kepimpinan Kotengensi
Gaya kepimpinan ini digunakan mengikut keperluan atau mengikut keadaan yang wujud seperti faktor-faktor persekitaran, teknologi, orang-orang terlibat seperti bilangan pelajar di dalam kelas. Penerapan gaya kepimpinan ini yang bervariasi dalam menghadapi pelbagai situasi akan menjadikan kepimpinan lebih efektif. Contoh situasi berbeza: struktur organisasi, kedudukan, tempat dan waktu, kelompok kerja.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, kita sebagai guru mestilah bijak memilih gaya kepimpinan yang mana satu sesuai apabila berada di dalam kelas bersama murid. Hal ini kerana keselesaan murid di dalam kelas adalah penting bagi melahirkan murid yang berguna dan cemerlang kelak. Dengan gaya kepimpinan yang sesuai ianya mampu menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas akan berjalan dengan lancar dan dapat dilaksana dengan berkesan sekali gus dapat mencapai objektif yang diinginkan.
A.L.Ramaiah. (1999). Kepimpinan Pendidikan-Cabaran Masa Kini(edisi baru). Petaling Jaya: IBS Buku Sdn. Bhd.
Shahril @ Charil Marzuki. (2001). Ciri-ciri kepimpinan pengetua / guru besar berkesan yang dapat menghadapi cabaran dan harapan pada abad ke-21 ini. Pemimpin, 1(1).
Zahari Suppian (2021) kepimpinan dan organisasi, nota KPS3014

No comments:
Post a Comment