Tuesday, 11 May 2021

BAB 14: PENGURUSAN ALAM PEMBELAJARAN

 BAB 14: PENGURUSAN ALAM PEMBELAJARAN


PENGENALAN

Menurut (Shaarai, 2012) proses pembelajaran merupakan salah satu unsur penting untuk mencapai keberhasilan dalam pembelajaran. Pengurusan pembelajaran merangkumi segala persediaan seperti persediaan tempat pembelajaran yang kondusif. Menurut( Eng,2014) Alam pembelajaran bermaksud keadaan atau suasana belajar yang dapat merangsang minat belajar kanak- kanak dalam mencapai matlamat perubahan tingkah laku ke arah positif dan daripada tidak tahu kepada tahu.

Pengajaran pula merupakan suatu proses yang merangkumi aktiviti-aktiviti perancangan, pelaksanaan, penilaian, dan memberikan maklumbalas. Tujuan pengajaran ialah untuk menyebarkan ilmu pengetahuan atau kemahiran tertentu kepada pelajar. Corak pengajaran banyak berubah mengikut
perkembangan semasa.

KANDUNGAN 

Tujuan merancang suatu Pengajaran :
  • memenuhi masa yang diperuntukan
  • menepati kehendak objektif/matlamat
  • berkesan sepanjang waktu pengajaran
  • menarik perhatian dan tidak membosankan

Persediaan sebelum mengajar:
  1. Penulisan persediaan mengajar
  2. Persediaan ilmu pengajaran dan isi pelajaran diajar.
  3. Persediaan bahan pengajaran.
  4. Persediaan peralatan pengajaran.
  5. Persediaan ruang pengajaran.
  6. Persediaan kemahiran dalam pengajaran.

Seterusnya adalah buku rekod mengajar yang semua guru yang mengajar mata pelajaran akademik diwajibkan mencatat semua aktiviti kerja mereka dalam buku rekod mengajar. Buku ini menghimpunkan pelan tindakan guru sebelum mengajar. Berdasarkan SPI Bil 3/1999. Buku rekod mengajar wajib mengandungi
dua perkara penting :
  • Rancangan Pelajaran Tahunan
  • Rancangan Pelajaran Harian
KESIMPULAN

Rumusannya ,pengurusan alam pembelajaran ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu sebelum, semasa dan selepas pengajaran. Pengurusan alam pembelajaran ini perlu dititkberatkan kepada para guru supaya minat para pelajar dapat dipupuk dengan mudah. Selain itu, segala pemindahan maklumat akan berjalan lancar sekaligus meningkatkan pencapaian para pelajar. Pentingnya pengurusan ini supaya dalam kelas , sesi pembelajaran berlangsung dengan lancar. Buku rekod mengajar juga guru perlulah setiap kemaskini agar boleh digunakan dengan baik.

RUJUKAN

Shaarai, L. F. (2012). PENGGUNAAN STRIP KOMIK BAGI MENINGKATKAN PENCAPAIAN MURID DALAM TOPIK KITARAN AIR TAHUN 5.

Eng, J. A. J. (2014). Pengurusan Bilik Darjah: Strategi-strategi mewujudkan komuniti pembelajaran berkesan. PTS Publications & Distributors Sdn Bhd.

Zahari Suppian (2021) pengurusan alam pembelajaran, nota KPS3014

BAB 13:SEKOLAH DAN PERSEKITARAN

 BAB 13:SEKOLAH DAN PERSEKITARAN


PENGENALAN


Sekolah ialah sebuah institusi yang memberi pendidikan formal dan informal kepada pelajar sebagai persediaan untuk mereka menempuh alam pekerjaan kelak. Persekitaran pula merujuk kepada kawasan sekitar yang terdapat berdekatan sekolah tersebut. Sebagaimana pentingnya iklim sekolah yang harmoni, persekitaran sekolah juga berperanan membangkitkan semangat motivasi pelajar.


KANDUNGAN


Antara isi penting yang saya pelajari di dalam topik ini adalah tentang hubungan antara faktor luar sekolah dan faktor dalaman sekolah serta hubungan antara faktor-faktor dalaman sekolah. Sebagai contoh faktor dalam sekolah adalah seperti gaya kepimpinan , peranan guru bentuk interaksi dan pencapaian murid/sahsiah murid manakala bagi faktor luar dan dalaman sekolah bagi corak pembelajaran adalah melalui 'gender' , kelas sosoal dan etnik.

Seterusnya adalah tentang Persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) yang diwujudkan di setiap tahun dan telah dianggotai PIBG dianggotai oleh guru guru, ibu bapa, dan penjaga yang mempunyai anak anak di sekolah berkenaan. Pada kebiasaannya sekolah mengutip yuran daripada ibu bapa dan penjaga sebagai sumber menggerakkan persatuan.

Fungsi PIBG

Perkembangan murid
  • Sumber kewangan sekolah
  • Saluran komunikasi dan hubungan

Kebajikan murid
  • Meningkatkan kemudahan sekolah
  • Menjayakan aktiviti dan program
  • Mewujudkan suasana yang kondusif

KESIMPULAN


Kesimpulannya, hubungan antara sekolah dan masyarakat serta hubungan antara guru dan ibu bapa dapat membantu mencapai matlamat sekolah malah pelajar juga turut mendapat faedah yang sangat berguna iaitu peningkatan daripada aspek jasmani, emosi, rohani dan intelektual (JERI).

RUJUKAN

Malaysia, K. P. (2013). Pelan pembangunan pendidikan Malaysia 2013-2025.
Online)(www. moe. gov. my).

Razak, A. Z. A. (2006). Ciri iklim sekolah berkesan: Implikasinya terhadap motivasi pembelajaran. Jurnal Pendidikan Malaysia (Malaysian Journal of Education), 31.
Seng, T. W. (2005). Penyelidikan tindakan: Perkembangan profesionalisme ke arah pengamalan reflektif dan penambahbaikan sekolah. Dalam Prosiding Penyelidikan Tindakan tahun, 3-4.

Zahari Suppian (2021) sekolah dan persekitaran, nota KPS3014

Monday, 10 May 2021

BAB 12: PENGURUSAN MURID PELBAGAI UPAYA

 BAB 12: PENGURUSAN MURID PELBAGAI UPAYA


PENGENALAN

Akta Pendidikan 1996 menyatakan bahawa ‘Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK)’ ertinya murid yang diperakukan oleh pengamal perubatan, ahli politik, ahli audiologi atau ahli psikologi, mengikut mana-mana yang berkenaan, sama ada dalam perkhidmatan kerajaan atau tidak, sebagai murid yang mempunyai ketidakupayaan penglihatan, ketidakupayaan pendengaran, ketidakupayaan pertuturan, ketidakupayaan fizikal, masalah pembelajaran, atau mana-mana kombinasi ketidakupayaan, atau ketidakupayaan dan masalah, seperti
yang disebut. (Mohd Nasir, 2016).

Konsep pemulihan pula bermaksud satu program pendidikan untuk murid yang mengalami masalah
dalam penguasaan kemahiran asas membaca, menulis, dan mengira yang kompleks disebabkan oleh faktor persekitaran. Program ini dijalankan oleh guru yang khusus, di ruang yang khusus. Murid pemulihan merupakan “Murid yang menghadapi kesukaran dalam penguasaan kemahiran asas ini disebabkan oleh faktor persekitaran dan bukan kognitif”.

KANDUNGAN

Antara yang saya pelajari adalah terdapat tiga jenis gaya pembelajaran iaitu Visual iaitu belajar dengan melihat teks berbentuk perkataan /ayat dalam buku , papan putih atau komputer. Kemudian, Auditori iaitu belajar dengan mendengar perkataan / ayat yang disebut
dan juga arahan lisan dan yang terakhir adalah Kinestetik iaitu belajar melalui pengalaman menerusi penglibatan aktif dalam aktiviti di kelas

Seterusnya adalah pengayaan iaitu memberi aktiviti tambahan kepada murid yang dapat menguasai satu-satu kemahiran dalam jangka masa yang ditetapkan atau lebih awal daripada itu. Objektifnya adalah untuk membolehkan murid menjalani aktiviti yang lebih mencabar kebolehan mereka disamping menambahkan minat dan pengalaman yang dapat membantu mereka ke arah perkembangan diri dan bakat mereka .

Terdapat dua jenis pengayaan iaitu pengayaan (mendatar) dan pengayaan (menegak).Pengayaan (mendatar) adalah aktiviti yang berdasarkan kepada kebolehan murid dalam sesuatu kumpulan manakala pengayaan (menegak) adalah aktiviti yang berdasarkan minat dan bakat murid dalam kumpulan cerdas sahaja.Ia juga dapat melibatkan pelajar secara langsung dan juga guru secara tidak langsung. Selain itu, murid boleh belajar bergerak sendiri dengan dorongan guru yang membantu mereka. Selain itu, ia juga dapat menggalakkan murid terus berkembang dengan minat mereka.

KESIMPULAN

Rumusannya, guru perlu membantu mengatasi masalah tingkah laku yang tidak normal sebelum mampu mengajar mereka sebarang mata pelajaran akademik manakala murid tidak mengalami sebarang masalah biologikal malah lebih tertumpu pada masalah kognitif sahaja. Dengan kaedah, strategi dan teknik pengajaran yang telah dikuasai oleh guru yang profesional, pembelajaran dapat ditingkatkan. Masa depan murid-murid yang kurang upaya dalam pembelajaran ini perlu bantuan dari pelbagai pihak. (Fong, 2018). Guru juga memainkan peranan penting dalam masalah murid pelbagai upaya. Selain guru, ibu bapa juga perlu membantu murid murid ini menggapai kejayaan.


RUJUKAN

Fong, C. E. (2018). Dari Pendidikan Khas ke Pendidikan Pemulihan: Dua Program Masalah Pembelajaran.

MOHDNASIR, S. N.(2016). PELAKSANAAN PROGRAM TRANSISI KERJAYA (PTK)MURID.1-2.

Zahari Suppian (2021) pengurusan murid pelbagai upaya, nota KPS3014

BAB 11: PENGURUSAN PELBAGAI BUDAYA

 BAB 11: PENGURUSAN PELBAGAI BUDAYA


PENGENALAN

Definisi pelbagai budaya adalah Satu sistem kepercayaan dan tingkah laku yang mengiktiraf dan
menghormati kewujudan kepelbagaian dalam kelompok sebuah organisasi atau masyarakat, mengakui dan menghargai perbezaan sosiobudaya, dan menggalakkan dan menerima sumbangan
berterusan mereka dalam konteks dan budaya yang inklusif dalam organisasi atau masyarakat berkenaan. Kepelbagaian latar belakang individu dalam masyarakat mempengaruhi kepelbagaian latar belakang para pelajar dalam institusi pendidikan (Banks, 1989).

KANDUNGAN

Terdapat beberapa jenis pembezaan dalam topik ini yang boleh digunakan oleh guru untuk mengubahsuai pengajaran mengikut keperluan pelajar dan kurikulum. Pertama adalah isi kandungan. Ia merupakan pembezaan kaedah mengajar melibatkan perbezaan isi kandungan. Yang kedua ialah minat dimana pembezaan pengajaran isi kandungan boleh dilakukan mengikut minat pelajar. Yang ketiga ialah kadar dimana pembezaan kadar belajar merupakan jenis pembezaan yang paling kerap digunakan oleh guru. Yang keempat adalah tahap yang merupakan pembezaan kadar belajar diikuti oleh pembezaan dari segi tahap. Yang kelima ialah akses dimana pembezaan dari segi akses melibatkan guru menyediakan aktiviti yang sama bagi semua pelajar, tetapi cara pembentangan aktiviti diubahsuaikan bagi pelajar tertentu berdasarkan keperluan mereka. Yang keenam ialah respon iaitu respon merupakan pembezaan akses (kepada sumber) memberi peluang kepada pembezaan respon pelajar. Yang ketujuh merupakan urutan iaitu pembezaan urutan kandungan kurikulum membolehkan pelajar memilih untuk menumpu kepada topik-topik tertentu dalam sukatan pelajaran sesuatu subjek.
Yang kelapan adalah pembezaan struktur iaitu berlaku apabila pengajaran dirancang supaya pelajar belajar isi kandungan secara menyeluruh (‘chunks’) manakala yang lain belajar secara langkah demi langkah. Yang kesembilan adalah masa guru yang merupakan masa dan perhatian guru untuk pelajar-pelajar tertentu berlaku secara tidak terancang kerana guru tidak merancang masa mereka. Yang terakhir adalah stail pengajaran juga merupakan pembezaan stail pelajaran adalah perlu supaya guru dan pelajar tidak menjadi bosan –visual learners, auditory, verbal dan sebagainya.

KESIMPULAN

Rumusannya, guru memainkan peranan yang penting dalam mengajar pelajar tanpa mengira status atau latar belakang pelajar. Guru perlu bersikap adil dan saksama serta tidak pilih kasih dalam memberikan layanan kepada pelajar. Guru perlu bersikap “multicultural” supaya dapat memahami masalah pelajarnya. Dengan itu hubungan yang lebih harmoni dapat dapat diwujudkan semasa berinteraksi.

RUJUKAN

Sufean Hussin. (2007). Inovasi dasar pendidikan: Perspektif sistem dan organisasi. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Wan Hanum Suraya Wan Mohamed. (2015). Pengaruh budaya sekolah, strategi pembelajaran dan efikasi kendiri terhadap pencapaian akademik pelajar tingkatan 4 di Perak. Tanjong Malim: Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Zahari Suppian (2021) pengurusan pelbagai budaya, nota KPS3014

BAB 10: PENGURUSAN PENASIHAT PELAJAR

 BAB 10: PENGURUSAN PENASIHAT PELAJAR


PENGENALAN

  • Konsep bimbingan merupakan bantuan seseorang yang memiliki peribadi dan pendidikan yang memadai kepada seseorang individu dari setiap peringkat usia. Tujuannya adalah untuk menolong mengarahkan hidupnya sendiri, membuat pilihannya sendiri dan menanggung akibatnya sendiri (Crow Crow 1960). Manakala menurut Amla et al. (2006) bimbingan adalah Suatu konsep yang berkaitan dengan cara membantu orang lain atau suatu usaha menyediakan pengalaman untuk membantu pelajar memahami diri.
  • Konsep memberi nasihat pula adalah strategi menyelesaikan masalah tanpa memikirkan perasaan individu yang terlibat (Zuraidah, 1994). Menurut kamus dewan, nasihat ialah ajaran, petunjuk yang baik, peringatan mengusulkan, mengesyorkan atau menganjurkan kepada seseorang tentang pelbagai hal.
KANDUNGAN

Terdapat empat proses bimbingan dan penasihatan yang saya pelajari dalam topik ini iaitu:

  1. Fasa pertama, iaitu kesedaran guru sebagai pembimbing dan penasihat pelajar yang menerangkan bahawa penekanan haruslah diberikan kepada guru yang mengajar pelajar kerana mereka lebih rapat dan arif mengenai pelajar pelajar mereka berbanding guru yang tidak mengajar. Mereka perlu disedarkan tentang kepentingan perkhidmatan bimbingan dan penasihatan sebagai pengelola dan sumber rujukan pelajar.
  2. Fasa kedua adalah menguasai kemahiran-kemahiran asas bimbingan dan penasihatan. Pada tahap ini, semua guru dibantu dan diterapkan dengan beberapa kemahiran asas bimbingan dan penasihatan melalui kursus, seminar dan bengkel khas. Penguasaan kemahiran kemahiran ini boleh dijalankan secara berperingkat dan merupakan asas menjadi guru pembimbing yang berkesan.
  3. Fasa ketiga adalah proses mengenali pelajar iaitu guru-guru perlu mengaplikasi kemahiran-kemahiran asas kaunseling dan boleh mengenal pasti pelajar-pelajar yang memerlukan bimbingan dan penasihatan.Antara teknik atau kaedah yang boleh digunakan oleh guru untuk tujuan mengumpul maklumat tentang pelajar yang menerima perkhidmatan bimbingan ini ialah teknik ujian, temubual, soal selidik, teknik sosiometrik, teknik skala pemeringkatan, teknik autobiografi dan rekod kesihatan.
  4. Fasa keempat adalah proses membimbing pelajar iatu pelajar akan dibimbing melalui tiga cara iaitu menjalankan bimbingan secara individu, bimbingan secara kelompok dan juga konsultansi yang melibatkan ibu bapa. Oleh kerana pelajar memerlukan perhatian yang khusus, guru pembimbing lebih dapat mendekati pelajar melalui bimbingan secara individu kerana pelajar merasakan dapat diberi perhatian sepenuhnya oleh guru.  Manakala bimbingan kelompok melibatkan pelajar pelajar yang mempunyai masalah yang sama seperti program yang berbentuk motivasi, kemahiran pelajar, dan personal.
KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, bab ini menerangkan tentang fasa yang boleh digunakan oleh guru dan pelajar bagi membantu para pelajar membuat keputusan dalam pembelajaran. Kesemua fasa ini dapat menolong pelajar membangunkan diri mereka secara menyeluruh dan antara tujuan utamanya ialah untuk meningkatkan prestasi akademik pelajar dengan memberi galakan, sokongan dan motivasi kepada mereka.

RUJUKAN

Pengurusan Bimbingan & Kaunseling. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 2002.

Zuraidah Abdul Rahman. (2011). Kaunseling dalam pengurusan. Selangor: Marshall Cavendish.

Puteri Hayati Megat Ahmad. (2017). Kemahiran dan pengurusan kes-kes kaunseling. Kota Kinabalu: Penerbit Universiti Malaysia Sabah.

Zahari Suppian (2021) pengurusan penasihat pelajar, nota KPS3014

Monday, 3 May 2021

BAB 9: PENGURUSAN TINGKAH LAKU DAN DISIPLIN

 BAB 9: PENGURUSAN TINGKAH LAKU DAN DISIPLIN


PENGENALAN

Menurut Foucault (1977), disiplin ialah suatu bentuk pengawasan dan membiasakan amalan-amalan yang dikehendaki. Disiplin juga merupakan peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi oleh seseorang murid di sekolah bagi mewujudkan tingkah laku yang baik.

Seterusnya, masalah disiplin sekolah lebih sesuai dirujuk sebagai masalah salah laku pelajar atau tingkah laku devian( menyimpang daripada norma-norma sosial masyarakat). Mereka yang devian adalah mereka yang melanggar peraturan.

KANDUNGAN

Menurut Merton (1938), terdapat empat jenis devian iaitu:

       1. Devian Inovasi (innovation)
Inovasi (innovation) adalah suatu cara memenuhi matlamat dengan cara yang salah. Misalnya, pelajar yang ingin mendapatkan markah yang tinggi dalam peperiksaan tetapi tidak berupaya menjawab soalan yang dikemukakan akan cuba mendapatkan markah yang tinggi dengan melakukan kecurangan akademik.

       2. Devian Ritual (ritualism)
Ritual (ritualism) adalah tindakan mengulang-ulang suatu perbuatan apabila menyedari bahawa mereka tidak dapat mencapai matlamat ditetapkan. Misalnya, pelajar yang selalu kecewa akan mengulang-ulang tingkah laku yang sama.

      3. Devian Undur (retreatism)
Undur (retreatism) adalah berkenaan seseorang yang tidak lagi berminat dengan matlamatnya lalu melakukan alternatif lain sebagai tindakan. Misalnya, pelajar yang sudah kecewa dengan pelajaran contohnya akan melakukan ponteng sekolah.

      4. Devian Menentang (rebelliation)
Menentang (rebelliation) pula adalah dengan menolak matlamat persekolahan dan menggantikannya dengan matlamat lain yang dapat memenuhi kehendak mereka seperti melibatkan diri dengan gengsterism seperti mencuri.

PUNCA-PUNCA DEVIAN:

Kelas Sosial
Latar belakang budaya keluarga mempengaruhi pelajar kerana mereka lebih banyak menghabiskan masa di rumah bersama keluarga. Mereka telah disosialisasikan dalam budaya keluarga yang mungkin berbeza dengan budaya sekolah. Misalnya pelajar kelas sosial rendah dikatakan tidak mementingkan kelulusan akademik dan ingin segera menceburi sektor pekerjaan bagi mendapat wang. Kesannya mereka melakukan aktiviti tidak berfaedah seperti lepak dan sebagainya.

Etnik
Punca masalah hubungan etnik boleh disebabkan oleh prejudis, bias, dan persaingan ekonomi, status dan kuasa. Di barat tingkah laku devian pelajar sering dikaitkan dengan golongan minoriti kulit hitam. Masalah devian jenis ini dikatakan berpunca daripada sikap diskriminasi golongan kulit putih yang berkuasa terhadap golongan minoriti. Pelajar minoriti bertingkah laku devian sebagai tindak balas diskriminasi oleh kulit putih kerana merasakan terancam.

Jantina
Kajian menunjukkan devian lebih banyak dilakukan oleh pelajar lelaki seperti merokok, berjudi, membuli, ponteng, samseng, dan vandalisme. Pelajar perempuan sering dikaitkan dengan kesalahan melibatkan cara berpakaian, bersolek, vandalisme dan berpasangan. Puncanya dikatakan dengan bentuk sosialisasi berbeza antara pelajar lelaki dan perempuan sejak kecil lagi.

KESIMPULAN

Konklusinya, dalam melahirkan pelajar yang lebih berguna pada masa akan datang, semua pihak perlu bekerjasama dalam menangani masalah disiplin dan mengawal tingkah laku mereka dengan mengambil langkah yang drastik sebelum nasi menjadi bubur. Jika hanya satu pihak yang bertindak sebagai contoh di sekolah hanya guru sahaja yang berusaha membentuk disiplin pelajar tetapi di rumah ibu bapa tidak mengambil serius, sudah pasti masalah disiplin ini tidak lagi dapat dibendung.

RUJUKAN

Ang Jit Eng. (2007). Pengurusan disiplin murid. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing.


Periakka Rengaya Chinaya. (2016). Pengurusan tingkah laku murid pendidikan khas. Petaling Jaya: Sasbadi Sdn. Bhd.


Zahari Suppian (2021) pengurusan tingkah laku dan disiplin, nota KPS3014

BAB 8: PENGURUSAN BILIK PEMBELAJARAN

 BAB 8: PENGURUSAN BILIK PEMBELAJARAN


PENGENALAN

Menurut Bosch (2006), pengurusan bilik pembelajaran merujuk kepada proses perancangan, pengorganisasian dan kawalan pelajar serta proses pembelajaran untuk memastikan suasana yang berkesan. Bagaimana guru dan pelajar bekerja, bagaimana mereka saling bekerjasama dan bagaimana proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Secara amnya, bilik pembelajaran ialah bilik- bilik di sekolah di mana sekumpulan murid atau pelajar mengikuti pelajaran atau belajar sesuatu mata pelajaran yang diajar oleh guru seperti bilik darjah, makmal ict, makmal kimia dan makmal biologi. Untuk konsep yang lebih luas, bilik pembelajaran tidak semata- mata merupakan ruang untuk proses pengajaran dan pembelajaran, tetapi mencakupi pelajar- pelajar dan guru yang belajar dan mengajar dan berinteraksi antara satu sama lain didalamnya.

KANDUNGAN

Faktor yang mempengaruhi pembentukan interaksi dalam kelas:
  • Susunan bilik darjah
  • Keadaan emosi bilik darjah
  • Kawalan dan kepimpinan dalam bilik darjah
    • gaya autokratik
    • gaya demokratik
    • gaya laissez Faire
    • gaya kotengensi
  • Kaedah kumpulan
  • Amalan teori dan amali
  • Kaedah suasana pembelajaran
  • Peraturan bilik darjah
Suasana bilik darjah
  • suasana fizikal
  • suasana emosi
Faktor yang mempengaruhi suasana bilik pembelajaran adalah persekitaran fizikal. Bilik pembelajaran yang menarik adalah kondusif, bersih dan tersusun untuk pembelajaran. Susunan peralatan dan kemudahan dalam bilik darjah seperti kerusi-meja, buku rujukan, pusat pembelajaran, bakul sampah, papan tulis,alatan eksperimen dan lain-lain akan membantu keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran serta mengekalkan disiplin murid-murid dalam bilik pembelajaran. Sebagai rumusan, suasana fizikal bilik darjah yang boleh meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran ialah penyusunan kerusi-meja murid mengikut kumpulan yang sesuai akan memudahkan interaksi di antara murid dengan murid dan guru dengan murid. Suasana di bilik pembelajaran yang dihiasi dan diatur kemas dengan pelbagai carta, gambar dan alat bantu mengajar. Saiz bilik yang mencukupi memberi keselesaan kepada murid-murid untuk menjalankan pelbagai aktiviti kumpulan atau permainan. Tingkap dan pintu yang mencukupi untuk pencahayaan dan pengedaran udara dengan baik serta keadaan kebersihan dan keindahan bilik pembelajaran.

KESIMPULAN

       Secara konklusinya, strategi pengurusan bilik pembelajaran adalah sangat penting bagi memastikan pelajar atau murid dapat belajar dengan kondusif, selesa dan memberi interaksi semasa guru bertanyakan soalan.Sebagai contoh, penyusunan dalam bilik pembelajaran ini adalah penting untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar. Kemalangan yang tidak diingini juga dapat dielakkan jika peraturan yang ditetapkan dipatuhi sepanjang masa.

RUJUKAN

Mukodi, M. (2016). Bilik-Bilik Demokrasi dalam Pendidikan. SHAHIH : Journal Of Islamicate Multidisciplinary, 1(2), 113. doi: 10.22515/shahih.v1i2.393.

Zahari Suppian (2021) pengurusan bilik pembelajaran, nota KPS3014

Pembelajaran, B. (2018). Bab 8 : Strategi Mengurus Bilik Pembelajaran. Retrieved from https://missugliest.blogspot.com/p/bab-8.html

Saturday, 1 May 2021

BAB 7: PENGURUSAN SUMBER PEMBELAJARAN

 BAB 7: PENGURUSAN SUMBER PEMBELAJARAN


PENGENALAN

Pengurusan sumber boleh ditakrifkan sebagai bagaimana manusia mengorganisasikan sumber yang ada melalui proses merancang, memimpin dan mengawal untuk mencapai sesuatu matlamat. Sumber pelajaran secara umumnya merujuk kepada teks, video, perisian dan bahan-bahan lain yang membantu pelajar untuk mencapai matlamat pembelajaran. Sumber pembelajaran juga mestilah dinilai melalui kesesuaian penggunaannya (spt: memenuhi kurikulum, pertimbangan sosial, dan usia pelajar) sebelum dapat digunakan di bilik darjah.

KANDUNGAN

Jenis Sumber Pembelajaran:
  • Sumber Asas
  • Papan tulis, buku teks, dan guru sendiri sebagai model
  • Sumber Bukan Elektronik
  • Model, patung, gambar, lukisan, carta, gambar rajah, graf, poster, kartun, dll
  • Sumber Elektronik
  • Slaid, radio, televisyen, video, projektor, pembesar suara, dll.
  • Sumber Pengalaman
  • Lakonan, lawatan, projek, pameran, dan bahan alam sekitar
Objektif pusat sumber

  • Membantu pelajar menggunakan bahan-bahan pelajaran tambahan untuk tambahan ilmu pengetahuan mengenai sesuatu subjek.
  • Memupuk kemahiran menggunakan bahan pusat sumber
  • Memupuk dan menanamkan tabiat gemar membaca dan menyelidik
  • Membantu guru-guru memilih dan mendapatkan bahan-bahan untuk pengajaran
  • Membantu memupuk dan mengembangkan bakat dan kebolehan pelajar berdasarkan minat dan kecendurangan.

Fungsi pengurusan sumber
  •  Pusat profesional
  • Contohnya: aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh pusat sumber dalam meningkatkan iktisas keguruan dalam aspek kerja berkumpulan.
  •  Pusat perkembangan idea dan kreativiti
  • Contohnya: mengadakan satu pertandingan nilam dan sebgainya untuk para pelajar
  •  Mengisi masa lapang
  • Contohnya: para pelajar dapat berkumpul disitu pada waktu rehat atau waktu lapang mereka jika pusat sumber tersebut menyediakan kemudahan ict atau sebagainya dalam memberi maklumat pelajaran.
  •  Pusat kegiatan belajar dan mengajar
  • Contohnya: para pelajar dan guru akan menjadikan pusat sumber sebagai medium pelajaran. 
KESIMPULAN

Natijahnya, pengurusan sumber dalam bidang pendidikan mampu meningkatkan kefahaman pelajar terhadap pengajaran yang telah diajar kepada mereka. Seterusnya, penyampaian guru lebih berkesan dengan adanya sumber rujukan yang pelbagai. Pengurusan sumber merupakan aspek penting dalam pengurusan pembelajaran, pengurusan pusat sumber amat penting kerana ianya salah satu bantuan dalam sistem pembelajaran.

RUJUKAN

https://prezi.com/3ood1pnnxkxp/apa-itu-pengurusan-sumber

Kepimpinan Dalam Mengurus Perubahan-Dari Dimensi Kemanusiaan.
Pearson Prentice Hall.Abdul Aziz Yusof (2007).

Zahari Suppian (2021) pengurusan sumber pembelajaran, nota KPS3014

BAB 6: PENGURUSAN BILIK DARJAH

 BAB 6: PENGURUSAN BILIK DARJAH


PENGENALAN

Pengurusan bilik darjah adalah melibatkan proses penyusuan fizikal, galakan komunikasi dan interaksi antara murid. Tujuan pengurusan bilik darjah ialah untuk memudah cara atau mengendalikan pembelajaran murid di dalam kelas. Bilik darjah merupakan persekitaran pembelajaran yang merangkumi aspek murid, guru, ruang dan alat pembelajaran. Menurut Lemlech (1988), mengibaratkan pengurusan bilik darjah sebagai okestra dalam kehidupan di bilik darjah yang memerlukan pembentukan kurikulum, penyelenggaraan prosedur dan sumber pengajaran. Beliau juga menekankan tentang pentingnya penyusunan suasana bilik darjah bagi memaksimakan keberkesanan,pemantauan perkembangan pelajar serta tanggungjawab guru dalam memikirkan terlebih dahulu masalah-masalah yang mungkin akan timbul.

KANDUNGAN

    Aspek pertama ialah aktiviti pengajaran berkumpulan yang merupakan kaedah pengajaran yang memerlukan pelajar menjalankan aktiviti dalam kumpulan dimana pengumpulan murid dibuat berdasarkan peringkat kebolehan dan minat mereka masing-masing. Murid dikelompokkan dalam kumpulan sama ada mengikut kebolehan yang sama ataupun berbeza kebolehan. Tujuan pengajaran berkumpulan adalah untuk memudahkan guru untuk membimbing pelajar yang sedia tahu dalam sesebuah kelas ada pelbagai tahap kecerdasan pelajar. Selain itu, pengajaran berkumpulan juga dapat memupuk penglibatan aktif untuk semua pelajar di dalam kelas semasa proses pembelajaran berjalan.

Aspek kedua ialah pengajaran dan pembelajaran individu. Aspek ini lebih menekankan pelajar itu sendiri dalam menguruskan kaedah pembelajaran dia semasa dalam kelas mahupun luar kelas. Perkara ini membolehkan murid menguasai kemahiran mengikut kebolehan mereka. Walaupun aspek ini menumpukan hanya ke arah individu pelajar, guru juga harus memerhati dan mengetahui prestasi dan sebarang perubahan yang berlaku dalam diri pelajar. Dengan adanya aspek ini dalam suatu sesi pembelajaran, ia dapat membantu perkembangan kemahiran berfikir dan bertindak dalam diri pelajar itu sendiri.

Aspek ketiga ialah pusat pembelajaran iaitu ianya merujuk kepada bilik darjah di mana ia dilengkapi pelbagai bahan sumber dan dibina mengikut kreativiti guru dan murid. Ia diwujudkan untuk menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara formal atau tidak formal. Pentingnya pusat pelajar ini adalah dapat mempelbagaikan kaedah, teknik dan pendekatan dalam sesi pembelajaran. Antara jenis pusat pembelajaran yang dilaksanakan ialah pusat pembelajaran langsung, terbuka dan juga kemahiran.

KESIMPULAN

       Rumusannya, sebagai seorang guru kita perlulah pandai dalam menguruskan bilik darjah supaya dapat meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran kepada tahap optimum. Kemudian, kejayaan seseorang guru sebagai pengurus di bilik darjah tidak semata-mata dinilai daripada aspek kemahiran dan teknik pengajaran dan pembelajaran semata-mata, malah mealalui kualiti peribadi dan sahsiah diri juga menjadi tarikan kepada murid-murid untuk belajar dengan selasa dan kondusif di dalam kelas

RUJUKAN

Haliza Hamzah. (2014). Pengurusan bilik darjah dan tingkah laku. Selangor: Oxford Fajar Sdn.Bhd.

Zahari Suppian (2021) pengurusan bilik darjah, nota KPS3014

BAB 5: PENGURUSAN MURID

 BAB 5: PENGURUSAN MURID

PENGENALAN

Pengurusan murid merupakan suatu bidang yang penting di dalam sebuah institusi pendidikan. Hal ini kerana pengurusan murid yang efektif dan berjaya boleh memberi impak yang mendalam terhadap hal ehwal murid itu seperti contoh displin, tingkah laku, kemahiran berfikir, kecerdasan kognitif, kinestatik, interpersonal dan juga intrapersonal. Bagi melahirkan dan membantu individu supaya seimbang dari segi jasmani, rohani, emosi dan intelek (JERI) sebagai mana yang telah termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara (FPN), suatu perancanagan yang lebih berstruktur dan strategik perlu dilakukan di sekolah dimana perancangan ini meliputi dari segi akademik serta bukan akademik

KANDUNGAN

Konsep pengurusan murid
  • Pentadbiran
  • Perancangan
  • Pengawalan atau pemulihan
Kaedah terkini dalam mengurus rekod murid
  • Sistem Maklumat Murid Berkomputer
Kepentingan mengurus rekod murid di sekolah
  • Dapat membantu guru dalam menguruskan murid
  • Menggunakan kekuatan dan kelemahan murid untuk mempertingkatkan kaedah pengajaran
  • Dapat menganalisis prestasi pencapaian murid dari semua aspek
Untuk memastikan proses pengurusan murid berjalan dengan berkesan, semua pihak yang terlibat di sekolah perlulah bekerjasama sebagai sebuah organisasi dan antara pihak yang terlibat di dalam organisasi tersebutialah pihak pentadbir sekolah yang terdiri daripada guru besar atau pengetua, penolong kanan(Hal Ehwal Murid), guru serta murid.

Jenis Kesedian Belajar:
  1. Kesediaan Kognitif
  2. Kesediaan Afektif
  3. Kesediaan Psikomotor
Kesediaan Kognitif

Kesediaan kognitif ianya adalah kebolehan sedia ada yang telah dimiliki oleh pelajar sebelum mereka mendapat ilmu dan pengetahuan daripada pembelajaran yang baru. Sebagai contohnya adalah iaitu kita sedang membaca bahan dalam sesuatu bab dan cuba memehaminya serta memahami apa yang disampaikan oleh guru di dalam kelas. Jadi saya sebagai guru akan memastikan akan bertanyanya soalan yang mampu membuatkan mereka memahami, merangsang, menaakul dan berfikir tentang persoalan itu. Dengan itu kita dapat memastikan mereka bersedia dan fokus untuk belajar.

Kesediaan Afektif

Kesediaan afektif pula ianya lebih melibatkan kepada sikap dan minat pelajar terhadap sesuatu pelajaran, bab atau topik. Seperti yang kita tahu setiap orang mempunyai minat masing-masing sebagai contoh ada yang minat subjek yang lebih kepada menghafal seperti sejarah dan biologi tetapi kurang berminat subjek mengira seperti matematik dan fizik. Jadi untuk mengetahui dan mengukur minat pelajar tersebut saya akan menanyakan soalan kepada pelajar berkaitan topik itu. Dengan mempunyai kesedian afektif yang positif, secara tidak langsung mereka akan menjadi aktif dan mudah untuk menerima pembelajaran.

Kesediaan Psikomotor

Kesediaan psikomotor iaitu melibatkan kesediaan fizikal pelajar sebelum, sewaktu dan selepas sesi PdP. Kesediaan psikomotor ini juga bergantung kepada kesediaan kognitif dan kesediaan afektif pelajar. Hal ini penting kerana ianya memastikan pelajar sentiasa segar, fokus dan bersemangat semasa PdP dijalankan. Jika saya melihat ada pelajar yang mengantuk ketika kelas saya akan menjalankan senaman ringan untuk memastikan pelajar itu kembali segar dan aktif. Oleh itu sebagai guru kita juga perlulah memastikan alat bantu mengajar kita sejajar dengan kesediaan psikomotor murid-murid.

KESIMPULAN

        Rumusannya, sebagai seorang guru harus memainkan peranan penting dalam mendidik dan bertanggungjawab dalam keadaan wujudnya perbezaan individu supaya dapat melaksanakan pdpc yang berkesan dan berfaedah untuk setiap murid.Guru juga perlulah menekankan ketiga-tiga kesediaan ini bagi memastikan pelajar sentiasa di dalam kondisi yang terbaik untuk belajar. Sebagai guru kita mestilah kenal sikap dan minat murid-murid kita dalam bidang tertentu juga untuk lebih menonjolkan pelajar tersebut.

RUJUKAN

Rahil Mahyuddin. (2002). Psikologi Pendidikan Untuk Perguruan. Shah Alam: Karisma Publications.

Mok Soon Sang. (2001 ). Psikologi Pendidikan Semester 1.

Zahari Suppian (2021) pengurusan murid, nota KPS3014

BAB 4: KEPIMPINAN DAN ORGANISASI

BAB 4: KEPIMPINAN DAN ORGANISASI


PENGENALAN

Definisi Kepimpinan:

Menurut Stogdill (1950) ,kepimpinan adalah satu proses mempengaruhi aktiviti kumpulan dalam usaha menetapkan dan seterusnya mencapai matlamat organisasi. Manakala menurut Kellerman (1984) ,kepimpinan adalah satu proses di mana seorang individu secara konsisten memberi lebih banyak impak terhadap sifatdan aktiviti kumpulan berbanding orang lain.

Definisi Organisasi:

Organisasi adalah sekumpulan individu yang bekerja bersama sama ke arah mencapai matlamat yang sama atau satu unit sosial manusia yang bekerjasama dan saling bergantungan antara satu sama lain bagi mencapai matlamat setiap manusia itu dan organisasinya.

KANDUNGAN

Terdapat empat gaya kepimpinan yang saya pelajari dalam topik ini:

  1. Gaya Kepimpinan Autokratik
  2. Gaya Kepimpinan Demokratik
  3. Gaya Kepimpinan Laissez-faire
  4. Gaya Kepimpinan Kontigensi

Gaya Kepimpinan Autokratik

Gaya kepimpinan jenis autokratik adalah lebih mengutamakan kepada kehendak kerja & menyelesaikan tugas. Pemimpin jenis ini akan menggesa orang bawahannya untuk menyempurnakan tugasan mengikut arahan yang dia telah berikan. Tiada hubungan atau komunikasi yang mesra terjalin antara pemimpin dengan orang bawahan kerana perbincangan hanya menumpukan terhadap tugasan yang diberikan. Apabila perbincangan, kebanyakan pendapat orang lain tidak diterima dan dia hanya inginkan pendapatnya sahaja diterima. Pemimpin jenis ini biasanya suka mengongkong, pemarah, tegas & sombong namun hasil tugasannya lebih teliti dan sempurna.


Gaya Kepimpinan Demokratik

Gaya kepimpinan demokratik adalah gaya yang paling berkesan daripada gaya kepimpinan yang lain. Kepimpinan jenis ini bersifat lebih terbuka dan amat disenangi oleh orang di bawah pimpinannya. Apabila membuat perbincangan, pemimpin akan mengajak ahli-ahli lain dan mendengar setiap idea dan pendapat daripada mereka. Pemimpin mampu menerima kritikan dan pendapat daripada orang bawahan dengan hati yang terbuka. Dia akan berusaha memperbaiki kelemahan diri agar disenangi orang bawahan. Pemimpin lebih bersikap matang dan hubungan dengan orang di bawah pimpinannya adalah rapat kerana pemimpin ini mementingkan hubungan sesama ahli.


Gaya Kepimpinan Laissez-Faire

Pemimpin yang mengamalkan stail kepimpinan laissez-faire, tidak begitu berminat dengan urusan yang diamanahkan kepadanya. Beliau biasanya tidak peduli mengenai kerja mahupun hasilnya. Kuasa yang ada padanya tidak digunakan. Pemimpin jenis ini akan membiarkan semua keputusan dibuat oleh orang bawahannya.


Gaya Kepimpinan Kotengensi

Gaya kepimpinan ini digunakan mengikut keperluan atau mengikut keadaan yang wujud seperti faktor-faktor persekitaran, teknologi, orang-orang terlibat seperti bilangan pelajar di dalam kelas. Penerapan gaya kepimpinan ini yang bervariasi dalam menghadapi pelbagai situasi akan menjadikan kepimpinan lebih efektif. Contoh situasi berbeza: struktur organisasi, kedudukan, tempat dan waktu, kelompok kerja.


KESIMPULAN

Kesimpulannya, kita sebagai guru mestilah bijak memilih gaya kepimpinan yang mana satu sesuai apabila berada di dalam kelas bersama murid. Hal ini kerana keselesaan murid di dalam kelas adalah penting bagi melahirkan murid yang berguna dan cemerlang kelak. Dengan gaya kepimpinan yang sesuai ianya mampu menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas akan berjalan dengan lancar dan dapat dilaksana dengan berkesan sekali gus dapat mencapai objektif yang diinginkan.

RUJUKAN

A.L.Ramaiah. (1999). Kepimpinan Pendidikan-Cabaran Masa Kini(edisi baru). Petaling Jaya: IBS Buku Sdn. Bhd.


Shahril @ Charil Marzuki. (2001). Ciri-ciri kepimpinan pengetua / guru besar berkesan yang dapat menghadapi cabaran dan harapan pada abad ke-21 ini. Pemimpin, 1(1).

Zahari Suppian (2021) kepimpinan dan organisasi, nota KPS3014


BAB 3: PENGURUSAN DAN PEMBELAJARAN

BAB 3: PENGURUSAN DAN PEMBELAJARAN


PENGENALAN

Definisi Pengurusan:

Menurut Stoner (1984), pengurusan boleh didefinisikan sebagai proses merancang, memimpin dan mengawal daya usaha semua alhi organisasi dan menggunakan sumber lain untuk mencapai matlamat yang telah ditentukan.Manakala menurut Robbins (1984) pula ianya merupakan satu proses untuk mendapatkan kerjasama kakitangan secara berkesan untuk mencapai matlamat. Seterusnya, menurut Shukur (1988), pengurusan merangkumi bagaimana sumber-sumber seperti manusia, kewangan dan alat-alat digunakan untuk mencapai matlamat organisasi.

Definisi Pembelajaran:

Menurut Woolfolk (1995) , pembelajaran adalah proses di mana pengalaman menyebabkan perubahan dalam pengetahuan dan tingkah laku yag kekal. Manakala menurut Bigge (1982) perubahan sistematik dalam tingkah laku atau penyusuan tingkah laku yang berlaku hasil dari pengalaman dalam situasi yang tertentu.

KANDUNGAN

Prinsip Pengajaran:

  • Set Induktif
  • Penyampaian
  • Penutup

Prinsip Pembelajaran:

  1. Kesediaan Pembelajaran
  2. Maksimumkan pengalaman(pelbagai deria)
  3. Latihan
  4. Suasana Pembelajaran Kondusif
  5. Penglibatan Aktif
  6. Persediaan Awal
  7. Unsur Dorongan

Antara strategi pengurusan dan pembelajaran ialah:

Berpusatkan guru

  1. Guru menguasai proses pengajaran dan pembelajaran.
  2. Guru mengarah pemikiran dan penglibatan pelajar.
  3. Contoh: kuliah, penghafalan, menyalin nota, membuat latihan serta soalan-soalan yang diberi oleh guru

Berpusatkan bahan

  1. Pelajar mengambil alih sedikit tanggungjawab untuk apa yang diajar dan bagaimana ia dapat mempelajarinya.
  2. Murid digalakkan untuk melibatkan secara aktif dalam aktiviti dirancang sama ada secara individu, kumpulan kecil, atau kelas.
  3. Pengajaran dijalankan secara individu atau kumpulan-kumpulan kecil dan tidak dijalankan secara keseluruhan kelas.

Berpusatkan pelajar

  1. Pelajar mengambil alih sedikit tanggungjawab untuk apa yang diajar dan bagaimana ia dapat mempelajarinya.
  2. Murid digalakkan untuk melibatkan secara aktif dalam aktiviti dirancang sama ada secara individu, kumpulan kecil, atau kelas.
  3. Pengajaran dijalankan secara individu atau kumpulan-kumpulan kecil dan tidak dijalankan secara keseluruhan kelas.
KESIMPULAN

Pengurusan dan pembelajaran adalah sangat penting sama ada bagi guru mahupun pelajar untuk mendapatkan pembelajaran yang efektif dan berkesan. Ini juga dapat menambah pengalaman kepada tahap maksimum bagi seseorang itu dan lebih bersedia untuk belajar.

RUJUKAN

Zahari Suppian (2021) pengurusan dan pembelajaran, nota KPS3014

 

BAB 2: INTERAKSI DAN PEMBELAJARAN

 BAB 2: INTERAKSI DAN PEMBELAJARAN


PENGENALAN

Interaksi ialah proses saling tindakan antara individu dengan pihak yang lain atau alam sekitarnya. Menurut Merriam Webster Online Distionary, interaksi bermaksud pengaruh atau aksi dua hala. Dalam proses ini, seorang individu berinteraksi dengan individu-individu yang lain atau bahan-bahan di dalam persekitaran dengan tujuan mempengaruhi satu sama lain. Manakala menurut Murphy dan Alexender (2006), pembelajaran membawa maksud proses seorang pelajar untuk memperoleh sesuatu kefahaman dan mengubah kefahaman atau konsep tersebut. Pembelajaran juga boleh membawa maksud perolehan maklumat dan pengetahuan, penguasaan tabiat dan kemahiran, serta pembentukan kepercayaan dan sikap.

KANDUNGAN

Jenis-jenis interaksi dalam pembelajaran:

  • Interaksi sehala/tradisional
  • Interaksi dua hala antara guru dengan murid
  • Interaksi dua hala antara murid dengan murid(kumpulan)
  • Interaksi pelbagai hala antara guru dengan murid dan murid dengan murid
Interaksi sehala/tradisional

Pendekatan ini lebih berpusatkan guru, kaedah kelas, kaedah syarahan, kaedah bercerita atau kaedah demonstrasi, interaksi dalam bilik darjah akan menjadi sehala kerana guru yang mengawal segala aktiviti pembelajaran dan pengajaran yang berlaku di dalam bilik darjah. Sebagai contoh, seorang guru mengajar di dalam kelas dan pelajar sebagai pendengar seperti bagi subjek sejarah. Pelajar terpaksa menerima apa sahaja arahan atau penerangan yang diberikan oleh guru tanpa sebarang bantahan.

Ciri-ciri interaksi sehala:

  • Corak interaksi bilik darjah ditentukan oleh guru kelas.
  • Tiada interaksi yang berlaku antara murid dengan murid.
  • Murid-murid tidak terlibat dalam proses pengajaran dan pembelajaran secara aktif.

Interaksi dua hala antara guru dengan murid

Interaksi ini sesuai bagi guru menggunakan pendekatan yang berlainan seperti perbincangan atau kaedah induktif, kaedah menyoal interaksi yang berlaku di dalam bilik darjah bertukar menjadi dua hala dimana guru bertanya pelajar menjawab, atau pelajar bertanya guru menjawab. Untuk menarik minat pelajar, guru boleh menggunakan cara seperti memberi ganjaran kepada pelajar

Ciri-ciri dua hala antara guru dengan murid:

  • Aktiviti pengajaran dan pembelajaran bercorak aktif.
  • Perhubungan guru dengan murid menjadi rapat akibat komunikasi terbuka di dalam bilik darjah.
  • Menggalakkan murid-murid untuk melibatkan diri dalam proses pengajaran dan pembelajaran dengan menyoal dan meminta pendapat mereka.

Interaksi dua hala antara murid dengan murid(kumpulan)

Interaksi ini bertujuan untuk menggalakan pelajar untuk menyertai diri secara aktif dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Interaksi ini juga terjadi apabila terdapat aktiviti berkumpulan seperti pembentangan, perbincangan dan sebagainya. Kerja berkumpulan membolehkan pelajar berinteraksi sesama ahli kumpulan dalam sesi perbincangan dan ini dapat memupuk sikap kerjasama, menghormati dan dapat mengurangkan masalah pelajar yang takut atau malu untuk menonjolkan diri.

Ciri-ciri dua hala antara murid dengan murid:

  • Aktiviti pembelajaran menjadi aktif dan dinamik.
  • Perhubungan antara murid dengan murid dieratkan.
  • Interaksi guru dengan murid dihadkan kepada mengikut arahan guru sahaja.
  • Pembelajaran koperatif dan kolaboratif menjadi tumpuan guru.
  • Interaksi antara murid-murid mewujudkan perasaan hormat-menghormati dan saling membantu dalam kalangan mereka.

Interaksi pelbagai hala antara guru dengan murid dan murid dengan murid

Guru menggunakan kaedah-kaedah dan teknik ini untuk pengajaran seperti simulasi, main peranan, pendekatan kumpulan, kaedah perbincangan, uji kaji, kaedah penyelesaian masalah dan kaedah perbincangan, ia akan menggalakkan interaksi pelbagai hala antara guru dengan murid dan murid dengan murid-murid lain di dalam bilik darjah.

Ciri-ciri interaksi pelbagai hala antara guru dengan murid dan murid dengan murid:

  • Komunikasi berkesan yang berlaku di antara guru dengan murid dan murid dengan murid.
  • Penyertaan aktif murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
  • Suasana yang kondusif untuk mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran.
KESIMPULAN

    Secara rumusannya, interaksi amat penting dalam apa jua urusan terutama dalam proses pembelajaran. Hal ini sedikit sebanyak dapat membantu semua pihak dan dapat memberi kemudahan kepada semua dalam menyampaikan dan juga menerima sesuatu tanpa sebarang keraguan. Oleh yang demikian, seharusnya teknik-teknik di atas diamalkan dalam pembelajaran supaya guru dan murid masing-masing beroleh apa yang diinginkan.

RUJUKAN

Zahari Suppian (2021) interaksi dan pembelajaran, nota KPS3014


BAB 1: SOSIOLOGI DAN PEMBELAJARAN

 BAB 1: SOSIOLOGI DAN PEMBELAJARAN


PENGENALAN

Istilah ini berasal daripada perkataan latin “sosio” bermaksud “berkongsi”.Istilah ini juga merupakan gabungan perkataan Yunani dan Rom yang bermaksud “pengetahuan mengenai masyarakat”.

Sosiologi merupakan suatu kajian saintifik dan sistematik mengenai manusia dan interaksi sosial manusia dalam masyarakat daripada pelbagai sudut (Tisher, Whitten dan Hunter, 1983).

KANDUNGAN

   Terdapat 3 teori utama dalam topik sosiologi iaitu teori Fungsionalisme, teori Konflik dan teori Interaksionisme.

Teori Fungsionalisme

Teori ini Dipelopori oleh Auguste Comte (1798-1857) yang selalu dianggap seperti tubuh badan manusia yang mempunyai bahagian dan fungsinya yang tersendiri. Teori Fungsionalisme ini memberi penjelasan bagaimana sesuatu organisasi itu dapat dipertahankan. Berdasarkan teori ini, struktur-struktur sosial akan menentukan keharmonian masyarakat. Pengkaji-pengkaji telah merumuskan tiga pandangan iaitu stabilitiharmoni dan evolusi.

  •   Stabiliti merupakan kriteria penilaian utama untuk menentukan sejauh mana sesebuah masyarakat dapat dikekalkan.
  •   Harmoni menunjukkan bagaimana semua bahagian dalam masyarakat bekerjasama untuk mencapai tujuannya.
  •   Evolusi pula menggambarkan perubahan-perubahan yang berlaku kepada masyarakat melalui proses yang diadaptasikan daripada struktur sosial kepada pembaharuan.
 Maka, tidak dapat dinafikan lagi bahawa pihak sekolah,ibu bapa, rakan sebaya dan media massa mesti memainkan peranan yang penting dalam mengatasi masalah jenayah yang wujud dalam kalangan remaja pada masa kini untuk memastikan suasana di dalam dan di luar sekolah lebih harmoni. Teori ini biasanya digunakan secara survey atau tinjauan yang telah disediakan berdasarkan kaji selidik(questionnaire). Teori ini banyak digunakan di institusi atau sekolah-sekolah di Malaysia.

Teori Konflik

Teori Konflik ini pula dipelopori oleh Karl Marx (1818-1883). Ia menyatakan bahawa konflik dalam masyarakat akan menyumbang kepada perubahan sosial dan mereka akan cuba untuk mempertahabkan idea atau pendapat masing-masing. Terdapat beberapa konflik yang selalu menjadi masalah di sesebuah institusi iaitu sebagai contohnya guru diarahkan melakukan kerja-kerja pentadbiran pada masa yang sama mereka perlu menjalankan tugas mengajar. Maka muncullah konflik di antara tugas mendidik dan tugas sampingan yang diberi. Manakala bagi pelajar pula mereka di tekan oleh ibu bapa dan guru untuk mendapat keputusan yang cemerlang dan ini telah merampas sebahagian usia kanak-kanak untuk menikmati masa di sekolah. Mereka masih ingin bermain dengan rakan sebaya. Maka wujudlah konflik ke atas jiwa kanak-kanak tersebut. Jadi , dengan menggunakan pendekatan makro ini , para pengkaji dapat mengetahui apa masalah yang selalu timbul dalam jiwa masyarakat.

Teori Interaksionisme Simbolik

Teori interaksionisme ini pula dipelopori oleh George Herbert Mead pada tahun (1863-1931). Teori ini mengkaji bagaimana individu menginterpretasi dan bertindak menurut kemahuan masing-masing dalam masyarakat dan juga mengkaji makna simbolik atau makna yang tersirat secara subjektif. Ia membantu dalam melihat bagaimana makna yang simbolik digunakan dalam interaksi manusia. Di mana ia menerangkan kepentingan memahami simbolik mengikut konteks penggunaannya. Makna yang simbolik (perkataan, perlakuan, objek, bahasa) berguna semasa interaksi menyebabkan hubungan bertambah mesra dan makna adalah sesuatu yang dirundingkan. Interaksi sosial amat penting dalam menghubungkan manusia dengan dunia luar. Jalinan interaksi dan aksi akan membentuk kumpulan masyarakat.

KESIMPULAN

      Natijahnya, berdasarkan apa yang telah saya pelajari dan baca, terdapat perbezaan yang jelas antara teori-teori ini sebagai contoh perbandingan yang diutamakan oleh ahli-ahli fungsionalisme dan konflik ialah bagaimana cara untuk menyatukan masyarakat dan  bagaimanakah perubahan sosial berlaku.Manakala ahli-ahli teori interaksionisme simbolik lebih menumpukan proses hubungan bersemuka individu dalam konteks kehidupan sosial. Dengan kata lain penganalisisan mereka berbeza daripada aspek makro dan mikro.

RUJUKAN

Amir Hasan Dawi, 2006,Penteorian Sosiologi Dan Pendidikan Edisi ketiga, Quantum Books,Tanjong Malim

Zahari Suppian (2021) sosiologi dan pembelajaran, nota KPS3014

BAB 14: PENGURUSAN ALAM PEMBELAJARAN

  BAB 14: PENGURUSAN ALAM PEMBELAJARAN PENGENALAN Menurut (Shaarai, 2012) proses pembelajaran merupakan salah satu unsur penting untuk menca...